Beranikah PAS Pecat Dr Hassan Ali ?
Published by AIDC on December 22, 2011
AIDCNews – 22/12/11 – Sejak Datuk Dr Hassan Ali menghadiri Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN), di Shah Alam baru-baru sudah ada suara-suara sinis dari kem liberal yang mahu Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat-Adat Melayu, Infrastuktur dan Kemudahan Awam Selangor itu diambil tindakan kononnya bertindak bersendirian dan membelakangkan polisi parti.
Datuk Seri Anwar Ibrahim melabelkan HIMPUN didalangi UMNO, walaupun tiada dikemukakan dengan sebarang bukti.
Di HIMPUN, Hassan tidak berucap, beliau hanya memimpin alunan zikir kepada Allah SWT.
Namun, kehadirannya itu sudah memberi makna besar dari segi bacaan politik dan sekaligus mengesahkan gelombang Kristianisasi yang sedang menular di Selangor.
Walaupun Anwar dan pimpinan pakatan pro-nya berusaha menafikan fakta itu, namun Hassan yang menjaga agama di Selangor lebih mengetahuinya.
Semalam, Hassan muncul lagi di TV3, dalam program Soal Jawab TV3 yang dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Datuk Ahmad A. Talib.
Bagi Anwar, muncul di TV3 atau Utusan Malaysia, dinisbahkannya sebagai bersekongkol dengan UMNO. Itu justifikasi yang digunakan untuk menyingkirkan Datuk Zaid Ibrahim dari PKR. Tapi, itu pandangan Anwar, bagaimana pula dengan pandangan PAS dalam soal ini.
Agenda Murtad
Sekali lagi Hassan membangkitkan soal murtad di Selangor, satu negeri yang bertunjangkan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.
“Kami mendapati (majlis) buka puasa yang berlaku lewat sejam. Terdapat pentas dan mereka memberikan ceramah mengenai Kristian. Semua warna malam itu ialah warna Kristian.” katanya yang merujuk kepada siasatan terhadap Damansara Utama Methodist Church(DUMC), Seksyen 13 Petaling Jaya pada 3 Ogos 2001.
“Apa yang berlaku di DUMC itu sedikit sahaja. A drop in the ocean“, katanya lagi.
Matlamat PAS Tersasar
Menurutnya perjuangan PAS sekarang sudah tersasar daripada landasan slogan Negara Islam dan Kepimpinan Ulama yang dilakukan oleh Presiden PAS sebelum ini.
“Saya menyertai PAS dari zaman (arwah) Dato’ Fadhil Noor. Saya adalah seorang dari sekular. Saya tertarik kepada ‘Kepimpinan Ulama’ itu dan kesederhanaan hidup oleh pemimpin PAS ketika itu.
“Keseluruhan perjuangan landasan, menurut pandangan golongan tertentu, telah tersasar. Masih ada (dalam parti) yang tidak selesa dengan shift (perubahan) yang berlaku. Mereka masih mahu PAS memartabatkan Islam”, katanya.
Beliau turut membandingkan komposisi jawatankuasa pusat parti semasa era slogan ‘Negara Islam’ dengan ‘Negara Kebajikan’.
Dahulu 65-70 peratus golongan ulama dan 30 peratus golongan profesional. Sekarang, 65 peratus golongan profesional berbanding golongan ulama yang kini hanya 35 peratus.
“Sudah berlaku perubahan kuantiti. Dahulu, 65-70 peratus ahli jawatankuasa pusat ialah dari golongan Ulama. Sekarang sudah berubah. Bukan dari komposisi pemimpin tetapi juga soal dasar. Perubahan juga berlaku kepada kualiti. Pertanyaan ramai ‘Ke mana arahnya parti’?” katanya.
Masa Depan Dalam PAS
Hassan berkata tindakan sesetengah pihak daripada partinya yang menentang perpaduan dan menggesa beliau keluar parti dianggap sebagai tindakan keterlaluan
“Saya nampak kenyataan yang sebegitu, pada saya agak keterlaluan mengenai hal perpaduan yang saya dan juga hal mengenai saya digugurkan itu.
“Tetapi bila dibawa kepada pintu terbuka, untuk bagi exit kepada kamu dan sebagainya. Saya rasa itu bukan jawapan yang baik, bukan jawapan yang matang untuk sebagai pemimpin yang matang”, katanya.
Menurutnya meskipun beliau sayang kepada partinya, tetapi masa depannya dalam parti tersebut bergantung kepada masa dan keadaan.
“Tapi apa pun, dalam hal tentang perjuangan ini, sebagaimana Datuk tahu saya dalam perjuangan, saya dalam parti saya buat sekian lamanya, dan saya sangat cinta, memang kasih kepada parti saya.
“Tetapi kita kena tengok keadaan, kena tengok masa, kena tengok suasana dan sebagainya.
“Sebab kita ni thinking person. Benda ini volunteer, benda ini bergerak, berubah semasa ke semasa dan sebagainya.
“Hanya Allah Subhanawa Taala sahaja dapat menentukan ke mana kaki saya, ke mana badan saya, ke mana pemikiran saya, di mana tubuh badan saya”, katanya.
Melayu bakal melalui zaman perpecahan yang cukup getir. PAS bakal berpecah. UMNO berpecah dan wujud PKR, PKR berpecah wujudkan KITA dan Politikus Bebas.
BalasPadam