: SUMPAH SEORANG AYAH!!!
Maklumlah, saat ini para mahasiswa sedang melalui usia darah panas justeru ramai yang berkobar-kobar mahu mengubah apa sahaja perkara yang dirasakan tidak kena buat mereka.
Namun, jika semangat ini dicurahkan pada perjuangan yang salah atau menggunakan jalan yang salah, hingga akhirnya ditahan atau pengajian tergadai maka malanglah nasib mahasiswa tersebut kerana tanggung jawab wahid mereka sepatutnya adalah menuntut ilmu dahulu.
Begitu pun semalang-malang nasib mahasiswa terbabit, lebih pedih lagi hati ibu bapa yang mengasuh dan membesarkan mereka selama ini dengan harapan si anak akhirnya berjaya mengubah nasib diri dan keluarga.
Bagi kami, inilah kepedihan yang dapat dirasa saat membaca surat di bawah.
Surat didakwa ditulis seorang ayah bekerja sebagai petani yang kini viral di laman maya ini, ditujukan kepada Pemimpin pembangkang yang sedang menghitung nasib di Istana Keadilan, Anwar Ibrahim.
Dalam surat ini si bapa melahirkan perasaan terkilannya kerana perjuangan peribadi Anwar telah mengheret anaknya yang dipanggil Osman dalam insiden rempuh pagar di Universiti Malaya tempoh hari.
Tindakan anaknya menggusarkan bapa ini kerana matlamat utama dia menghantar Osman ke sana adalah menuntut ilmu untuk mengubah nasib keluarga yang miskin seterusnya membantu adik-adiknya yang masih bersekolah.
Berikut kandungan surat tersebut:
Daripada Hj Yusof
Kg Parit 1
Tarikh 28 Okt 2014
Kepada : Khas untuk Sdra Anwar Ibrahim dan keluarga
Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh
Saya sebagai ayah kepada Osman, Pelajar tahun I Jurusan Undang-undang di UM amat kesal di atas situasi di UM malam semalam. Kekesalan dan kesedihan ini disebabkan anak saya dibabitkan dengan soal peribadi saudara dan keluarga. Ia tidak langsung membabitkan keluarga terutamanya anak saya.
Saya bekerja bertungkus lumus siang malam untuk mencari wang dan nafkah bagi membiayai pelajaran anak saya, agar anak saya menjadi seorang yang terpelajar dan seterusnya merubah kehidupan keluarga petani. Osman adalah anak sulung dari lapan beradik yang turut bersekolah rendah dan menengah. Jika Osman gagal di dalam pelajarannya, ia tidak akan dapat merubah keluarga ini.
Sdra Anwar, apakah sdra menyelami betapa pahitnya menjadi bapa kepada sebuah keluarga yang miskin. Anak saya dihantar ke UM bukan untuk terlibat politik sdra tetapi untuk menjadikan keluarga ini lebih terjamin masa hadapan. Sdra pun tidak pernah memberi bantuan apatah lagi mahu melawat keluarga ini.
Saya berjanji dan bersumpah tidak akan merelakan perbuatan sdra sampai bila-bila.
Itulah isi kandungan tulisan tangan surat tersebut yang katanya ditujukan kepada ketua pembangkang negara yang baru-baru ini mengadakan ceramah di UM. Anwar Ibrahim bersama-sama kuncu-kuncu dan para penyokong tegarnya telah merempuh pagar UM yang telah dikunci demi memenuhi hasratnya untuk berucap di Dataran Tunku Canselor UM.
Dari segi lain, kami pasti Osman dan mana-mana penuntut IPT apatah lagi Universiti Malaya adalah mereka yang terpilih kerana mempunyai fikiran cerdas.
Justeru, seharusnya Osman dan mahasiswa lain yang mempunyai semangat sepertinya berfikir dalam-dalam sebelum menyertai sesuatu perjuangan yang boleh menggadai masa depan mereka dan keluarga pada masa akan datang.
Bukanlah bermakna semua perjuangan itu salah tetapi caranya jangan sampai silap.
Berfikirlah, sebelum anda memperjuangkan hak orang lain, adakah hak insan paling layak anda perjuangkan seperti ibu bapa sudah dilunaskan terlebih dahulu?
Sumber mynewshub.cc